Tuesday, June 10, 2008

Padah tolak sertai kongsi gelap

Padah tolak sertai kongsi gelap

Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my
ALOR STAR: “Saya baru hendak menyuap makanan sebelum tiba-tiba diserang enam lelaki bersenjatakan batang besi,” kata Foo Soon Seng, 17, yang cedera dipukul dipercayai ahli kongsi gelap ketika bersarapan di depan sekolahnya di Jalan Langgar, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Foo ketika itu baru hendak bersarapan bersama empat rakannya sebelum memulakan sesi persekolahan.

Kejadian itu menyebabkan pelajar tingkatan empat itu mengalami kecederaan di belakang kepala dan badan.

“Saya tidak sempat menyuap makanan. Sebaik melihat saya, mereka terus menjerit nama sebelum memukul saya dengan batang besi manakala rakan-rakan juga tidak sempat menolong kerana terlalu takut,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, semalam.

Difahamkan, kejadian itu berpunca berikutan keengganan Foo menyertai sebuah kumpulan kongsi gelap yang dianggotai enam lelaki terbabit.

Foo berkata, dia didatangi beberapa ahli kumpulan kongsi gelap terbabit kira-kira dua minggu lalu memintanya menyertai kumpulan itu.

“Mereka memaksa saya menyertainya dan mengugut akan mencederakan saya jika saya enggan.

“Saya tidak mahu terbabit dengan mereka kerana bimbang boleh mendatangkan masalah dan mereka juga terbabit dengan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Menurutnya, kumpulan itu dipercayai sering merekrut pelajar sekolah untuk menjadi ahli dan sudah beberapa kali mengugutnya tetapi dia tidak melaporkan kepada polis kerana bimbang dicederakan.

“Ramai rakan di sekolah menyertai kumpulan secara terpaksa kerana mereka bimbang dicederakan,” katanya.

Dalam kejadian itu, enam lelaki berusia kira-kira 20-an yang menaiki dua kereta Proton Waja berwarna kelabu dan hitam berhenti di depan sekolah terbabit dan terus menyerang mangsa.

Foo berkata, dia tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya mampu meminta tolong selepas dibelasah bertubi-tubi oleh lelaki terbabit.

“Mereka membelasah bertubi-tubi sehingga saya lemah sebelum mereka meninggalkan saya. Malah, mereka juga mengugut akan pergi ke rumah untuk mencederakan saya lagi,” katanya yang tinggal bersama neneknya di Kampung Berjaya, dekat sini.

Foo kemudian dibawa rakannya ke sebuah pusat rawatan swasta, dekat sini, kira-kira jam 7.30 pagi sebelum dibawa ke HSB untuk rawatan susulan.

Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Star, pagi semalam.

Sementara itu, rakan mangsa, Ahmad Shamsul Amril Aziz, 26, berkata dia dimaklumkan kejadian itu oleh rakan mangsa yang menghubunginya kira-kira jam 7.30 pagi semalam, sebelum bergegas ke pusat rawatan terbabit bersama sepupu mangsa.

“Saya tahu Foo sudah beberapa kali diajak menyertai kumpulan kongsi gelap itu tetapi dia enggan. Saya bersama sepupunya juga kerap menasihatinya kerana banyak masalah akan timbul sekiranya dia menyertai kumpulan terbabit,” katanya.

Difahamkan, Foo menjadi ‘pilihan’ kumpulan kongsi gelap itu kerana kepandaiannya bercakap dan pergaulannya yang luas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Komisioner Frederick Leso Senap ketika dihubungi, mengesahkan kejadian, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

No comments: