1. UNTUK BADAN
Menjaga Kesihatan
Setiap ahli usrah hendaklah melakukan pemeriksaan umum kesihatan dari semasa ke semasa. Jika kita berpenyakit, segeralah berubat. Selain itu, ambil berat tentang punca-punca kekuatan badan dan pemeliharaan kekuatan itu dari segi kesihatan. Jauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang boleh melemahkan kesihatan badan.
Menjaga Kebersihan
Jagalah kebersihan dalam semua hal: dalam rumah tangga, pakaian, makan minum, tubuh badan, dan tempat bekerja. Agama Islam itu diasaskan di atas dasar kebersihan.
Minuman dan Rokok
Janganlah minum kopi, teh dan minuman penyegar lain secara berlebih-lebihan. Seboleh-bolehnya jangan sama sekali menghisap rokok. Ulasan penyunting: 1. Teh dan kopi (terutamanya Nescafe) adalah antara minuman yang boleh mengalakkan penyakit magrain. Minuman penyegar, khususnya yang bergas, boleh merosakkan bahagian perut. 2. Saya yakin merokok amat berbahaya kepada tubuh badan dan kesihatan kita. Alhamdulillah, saya berhenti merokok sejak sebelas tahun yang lalu setelah "berhenti-henti" selama seminggu, sebulan dan enam bulan. Namun demikian, saya berhenti merokok bukanlah atas sebab-sebab kesihatan. Saya berhenti merokok atas sebab-sebab agama (setelah membaca tiga buah buku yang berkaitan dengan keharamannya) dan sebab-sebab sosial. Nyatakan pendapat anda di forum GU. Diharap ada respons.)
Riadah
Amalkan apa-apa riadah badan walaupun sekadar berjalan-jalan kaki sahaja. Jadilah ahli mana-mana pasukan pengembara jika umur anda munasabah dengannya.
Minuman Keras
Hindari diri daripada arak, sebarang minuman yang memabukkan, dan minuman yang boleh melemahkan kesihatan badan atau apa-apa jua minuman yang berbahaya.
2. UNTUK AKAL
Amalan Membaca
Pastikan diri kita mampu membaca dan menulis dengan baik. Hendaklah kita sentiasa membaca bahan bacaan Islam, akhbar dan majalah bermutu. Jika anda golongan iktisas dalam sesuatu bidang pengetahuan, usahakan sebuah perpustakaan khas peribadi, walaupun kecil, agar saudara berpeluang mendalami ilmu pengetahuan. Timbalah pengalaman dalam urusan agama Islam sekira-kira membolehkan anda menggambarkan hakikat dan menimbang sama ada cocok atau tidak satu-satu perkara itu dengan tujuan dakwah kita.
Mendalami Pengetahuan Islam
Hendaklah saudara dapat membaca Al-Qur'an dengan betul; dan juga hendaklah saudara dapat mendengar serta memikirkan ertinya. Juga saudara dikehendaki mempelajari sirah atau perjalanan Rasulullah s.a.w. dan sejarah angkatan salafus soleh atau yang sangat mustahak tentang asas-asas akidah, asas-asas bagaimana hukum-hukum itu bercabang, dan juga rahsia-rahsia syariat Allah s.w.t.
3. UNTUK BUDI PEKERTI
Berketerampilan
Hendaklah saudara sentiasa dalam keadaan segar mekar dan cergas, berperasaan halus, mudah berkesan sama ada terhadap sesuatu yang baik mahupun terhadap sesuatu yang baru; sama ada terhadap perkataan-perkataan mahupun terhadap perbuatan.
Berkata Benar
Hendaklah saudara sentiasa bercakap benar dan jangan sekali-kali berdusta; hendaklah saudara kuat kemahuan dan janganlah teragak-agak dalam sesuatu perkara, yang benar dan hendaklah saudara sanggup menyimpan rahsia; berani mengaku kesilapan sendiri, sanggup menyedari dan mengawasi diri sendiri ketika marah.
Berani
Hendaklah saudara bersikap berani; sanggup memikul bebanan; dan semulia-mulia keberanian itu ialah berani berterus terang dengan perkara yang benar dan hendaklah saudara menyimpan rahsia; berani mengaku kesilapan sendiri, sanggup menyedari dan mengawal diri sendiri ketika marah.
Serius
Hendaklah saudara bersikap gagah dengan cara sentiasa bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara. Kegagahan sikap seperti itu tidaklah pula sampai menghalang saudara daripada bergurau dengan yang benar dan ketawa dengan senyum dan dengan tidak mengada-ngada.
Hindari Kejahatan
Hendaklah saudara menjauhkan diri daripada rakan-rakan yang jahat dan daripada kawan-kawan yang rosak seperti mana saudara juga hendaklah menjauhkan diri daripada tempat maksiat dan dosa.
4. UNTUK SAKU
Bekerja Walaupun Sudah Kaya
Hendaklah saudara membuat apa jua kerja yang halal yang boleh mendatangkan rezeki sekalipun kalau saudara sudah kara-raya; dan juga hendaklah saudara memilih kerja yang sesuai dan mencubanya sedaya upaya walaupun kerja itu sukar; bahkan hendaklah saudara bertekun sehingga berjaya dalam satu-satu kerja.
Teruskan Kerja
Janganlah saudara terlalu sibuk mencari kerja di pejabat-pejabat kerajaan, tetapi janganlah pula menolaknya jika ada peluang. Janganlah lepaskan kerja yang ada kecuali kerja itu benar-benar berlawanan dengan tugas-tugas gerakan dakwah kita.
Jujur
Hendaklah saudara sentiasa berjaga-jaga supaya dapat menunaikan tugas saudara dengan cukup amanah tentang kelicinan dan ketertiban pekerjaan itu; jangan sekali-kali menipu; bahkan hendaklah saudara menunaikan kewajipan itu dengan tepat pada waktunya dan tepat pada masa janjinya.
Jangan Berjudi
Hendaklah saudara menjauhkan diri daripada permainan judi walaupun apa jua coraknya, dan walau apa pun jua tujuan yang ada di sebaliknya. Hendaklah juga saudara menjauhkan diri daripada cara-cara penghasilan haram walaupun di sebaliknya itu terdapat keuntungan yang segera.
Hindari Riba
Jauhilah diri kita daripada riba dalam semua muamalah jual beli--bersihkan diri anda daripada sebarang bentuk riba.
Menyimpan dan Berjimat
Hendaklah saudara menyimpan sebahagian daripada wang saudara untuk masa kecemasan walaupun simpanan itu sedikit sahaja, dan janganlah sekali-kali saudara terjerumus ke dalam perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak mustahak.
Hindari Maksiat
Hendaklah saudara memerangi tempat-tempat permainan kotor; jangan menghampirinya, dan hendaklah saudara menjauhkan diri daripada cara hidup bermewah-mewah, berlebih-lebihan dan membazir.
Berhemat
Hendaklah saudara menggunakan harta umum umat Islam itu kepada jalan-jalan yang menggalakkan perusahaan dan pembangunan ekonomi Islam. Hendaklah saudara berjaga-jaga supaya jangan sampai keciciran wang itu walau sekupang sekalipun ke tangan pihak yang bukan Islam walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Hendaklah saudara jangan memakai melainkan barang-barang buatan tanah air saudara sendiri.
5. UNTUK ORANG LAIN
Adil
Hendaklah saudara berlaku adil dan benar dalam menjalankan sesuatu hukum walau apa pun jua perkaranya. Janganlah saudara lupakan kebaikan orang lain sebab saudara marah; dan sebaliknya pula, janganlah saudara memejam mata daripada kejahatan-kejahatan mereka itu kerana saudara menyayanginya. Budi baik orang lain hendaklah dikenang walaupun ketika dalam keadaan bermusuhan. Hendaklah saudara bercakap benar walaupun terhadap diri sendiri atau terhadap orang yang paling hampir dengan saudara sekalipun percakapan yang benar itu pahit dan maung akibatnya.
Komited
Hendaklah saudara cergas dan terlatih dalam membuat perkara-perkara kebajikan am. Kecerdasan ini dapat diukur dengan perasaan gembira saudara ketika saudara dapat memberi khidmat kepada orang lain untuk mencapai maksud ini hendaklah saudara menziarahi orang-orang sakit, menolong orang-orang yang berhajat, menanggung bebanan orang-orang yang lemah dan melapangkan dada orang-orang yang ditimpa kemalangan atau bencana walaupun hanya sekadar dengan cakap-cakap yang melegakan hati. Tegasnya, hendaklah saudara segera melakukan kebajikan walau apa jua pun coraknya.
Belas Kasihan
Hendaklah saudara bersifat belas kasihan dan bertolak ansur. Dalam hal ini hendaklah saudara memaafkan dan mengampun kesilapan-kesilapan orang lain. Belas kasihan ini bukan sahaja terhadap sesama manusia akan tetapi juga terhadap makhluk haiwan. Hendaklah saudara bermuamalah dengan orang lain secara yang baik; sentiasalah berkelakuan baik terhadap orang ramai dan hendaklah saudara memelihara sopan santun secara Islam dalam pergaulan sehari-hari--iaitu dengan cara menaruh perasaan belas kasihan kepada yang kecil dan menghormati yang tua, melapangkan tempat ketika di dalam mana-mana majlis perhimpunan ramai. Janganlah saudara mengintai atau mengumpat; jangan menceroboh bahkan hendaklah saudara terlebih dahulu meminta izin ketika hendak masuk ke sesuatu tempat dan begitu juga ketika hendak keluar daripada sesuatu tempat.
Hak
Hendaklah saudara meminta hak saudara dengan cara yang baik dan hendaklah menunaikan hak orang lain dengan sepenuhnya dengan tidak payah dituntut dan dengan tidak lengah-lengah lagi.
6. UNTUK GERAKAN DAKWAH
Hindari Kumpulan yang Tidak Berfaedah
Anda hendaklah melepaskan diri daripada berhubung dengan sebarang badan atau kumpulan yang tidak memberi faedah kepada gerakan dakwah kita.
Tegakkan Kebiasaan Islam
Berusahalah sedaya upaya menghidupkan kebiasaan yang bercorak Islam dan perangi adat dagang dalam semua lapangan hidup, termasuk cara memberi hormat, tutur kata, bahasa itu sendiri, sejarah, pakaian dan masa bekerja.
Berhati-hati Bertindak
Jangan menonjolkan diri dalam apa jua mahkamah bukan Islam; iaitu dengan jalan tidak berhakimkan kepadanya kecuali jika terpaksa. Janganlah pergi ke kelab-kelab yang bukan Islam, akhbar-akhbar, kumpulan-kumpulan, sekolah-sekolah dan badan-badan serta perbadanan-perbadanan yang menentang Islam. Pemulauan ini hendaklah saudara lakukan dengan cara yang bersungguh-sungguh. (Ulasan: Bagaimana jika seorang naqib usrah sengaja mengeluarkan anaknya daripada taman asuhan kanak-kanak Islam dan menghantar anak itu ke tadika Kristian? Bagaimana dnegan ahli usrah yang meninggalkan sekolah kebangsaan dan menyekolahkan semua anak mereka di sekolah rendah berjenama Saint.)
Berkenalan
Kenalilah semua anggota cawangan sendiri. Perkenalkan diri sendiri kepada mereka dengan sejelas-jelasnya sambil menunjukkan bahawa anda benar-benar berasa kasih sayang, penghargaan, sanggup bertolong-tolongan dan buktikan bahawa anda mengutamakan kepentingan mereka berbanding dengan kepentingan diri sendiri.
Sumbangkan Harta untuk Gerakan
Sumbangkan sedikit daripada harta anda untuk gerakan dakwah. Janganlah pula lupa mengeluarkan zakat yang wajib. Peruntukan sedikit harta untuk pengemis dan orang-orang yang terputus rezeki, walaupun pendapatan anda sangat kecil.
Berdakwah dan Selalu Sedia
Berusahalah menyiarkan seruan dakwah ke segenap teluk rantau. Corakkan rumah tangga, keluarga dan semua rakan taulan dengan corak keislaman. Laporkan suasana yang mengelilingi anda kepada pucuk pimpinan. Hendaklah anda sentiasa berhubung rapat dengan pucuk pimpinan dari segi jiwa dan amalan. Malah kita hendaklah meminta persetujuan mereka terlebih dahulu dalam setiap langkah yang penting di samping menganggap diri kita sebagai askar yang sentiasa dalam keadaan siap sedia dan hanya menunggu perintah untuk bertindak.
7. UNTUK TUHAN
Mengawasi Allah
Janganlah saudara terputus daripada mengawasi Allah. Sentiasalah berniat ikhlas kerana Allah dalam sebarang pekerjaan. Saudara hendaklah sentiasa beringat-ingat serta bersedia untuk ke akhirat; iaitu dengan jalan beramal dengan ibadat sunat untuk menghampirkan diri kepada Allah. Banyakkan zikrullah dalam semua hal serta berdoa dengan doa-doa yang ma'thur yang pernah diamalkan oleh Rasulullah dalam setiap keadaan.
Amalkan Wirid Khas
Amalkan wirid yang khas bagi Ikhwan Muslimin dan janganlah saudara mengecualikannya melainkan sesuatu situasi cemas dan memaksa.
Bersih dan Kelalkan Wuduk
Peliharalah kebersihan yang nyata dan yang maknawi. Seboleh-bolehnya sentiasalah berada dalam keadaan berwuduk.
Solat
Dirikan solat dengan betul dan pada waktu-waktunya yang ditentukan. Seboleh-bolehnya selalulah ke masjid dan berjemaah di sana.
Puasa
Hendaklah saudara berpuasa pada bulan Ramadan dengan sebaik-baiknya.
Haji
Hendaklah saudara menunaikan fardu haji jika mampu. Jika belum mampu, bekerjalah untuknya sekarang juga.
Beristighfar
Hendaklah saudara sentiasa membaharui taubat dan istighfar meminta ampun kepada Tuhan. Jauhkan diri daripada segala dosa besar dan dosa kecil.
Manfaatkan Masa
Hendaklah saudara menjaga masa kerana masa itu adalah umur saudara; oleh itu hendaklah saudara menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang samar-samar hukumnya supaya dengan menjauhkan diri daripadanya saudara tidak terjatuh ke dalam perkara-perkara yang haram.
Kawal Diri
Lawan diri sendiri dengan sehebat-hebatnya agar mudah saudara memimpin diri sendiri. Kawallah mata dan perasaan hati sendiri. Kuasailah desakan kemahuan dalam diri dan halakanlah semuanya itu kepada perkara yang halal lagi baik. Elakkan diri daripada apa jua perkara yang haram walau apa pun jua coraknya.
8. UNTUK KESEMUANYA
Kekal Niat Jihad
Hendaklah saudara sentiasa berada dalam keadaan niat berjihad dan untuk-Nya sedaya upaya.
Muhasabah
Sebelum tidur, peruntukkan masa selama satu jam untuk menyoal diri sendiri tentang sejauh mana dan sebanyak mana saudara menunaikan kewajipan ini. Jika didapati jawapannya baik, bersyukurlah kepada Allah; tetapi jika dapati kekurangan maka pintalah ampun kepada Allah dan bertaubatlah. Hendaklah saudara pinta pertolongan daripada-Nya kerana Allah itu sebaik-baik Pengawal dan sebaik-baik Pembantu.
Friday, September 26, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment