ZIARAH ORANG SAKIT
- Disunatkan meletakkan tangan kita di tempat yang sakit sambil membacakan basmalah dan mendoakan agar pesakit itu cepat sembuh dan banyak bersabar dengan ujian Allah.
- Sebaik-baiknya, elakkan daripada menceritakan pengalaman yang menakutkan berkaitan dengan penyakit orang yang diziarah.
Ini supaya cerita buruk yang disampaikan tidak sehingga menyakitkan hati pesakit atau menakutkannya serta merisaukan ahli keluarga yang lain.
- Bawalah buah tangan untuk menghiburkan hati pesakit.
- Sesuaikan waktu ziarah. Jangan berziarah setiap hari, melainkan atas kehendak atau permintaan pesakit. Sebaik-baiknya, datanglah berselang hari.
- Janganlah berada terlalu lama ketika berziarah kerana ini mungkin menyusahkan pesakit yang ingin berehat.
- Nasihatkan pesakit supaya banyak bersabar.
ZIARAH ORANG NAZAK
- Sewaktu menziarahi orang yang sakit tenat (nazak) yang beragama Islam, disunatkan membaca Surah Yasin.
Hadis daripada Ma'qal bin Yasar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Yasin adalah jantung al-Quran. Seseorang yang membacanya kerana mengharap rahmat Allah dan akhirat, akan diampuni dosanya. Oleh itu bacakanlah ia kepada orang yang sedang nazak.
- Elakkan berbuat bising dan berceritalah perkara yang baik-baik sahaja.
- Hadapkan ke arah kiblat orang yang sedang sakit tenat.
Ini berdasarkan peristiwa yang diceritakan oleh Abu Qatadah, bahawa ketika Rasulullah s.a.w. sampai di Madinah, Baginda bertanya mengenai al-Barra bin Ma'rur.
Mereka yang hadir di situ menjawab : ``Dia telah meninggal dunia dan mewasiatkan satu pertiga daripada hartanya kepada Tuan.
``Dia juga mewasiatkan supaya dihadapkan ke arah kiblat apabila sakitnya tenat.''
Rasulullah s.a.w. bersabda: ``Betullah pendapatnya itu.'' (Riwayat hakim dan Baihaqi)
- Orang yang sedang sakit tenat hendaklah diajar membaca kalimah tauhid, iaitu la ilaha illallah - Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.
Menurut Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda mengingatkan: Talkinkanlah (ajarkanlah) orang yang sakit tenat (hampir meninggal dunia) kalimah la ilaha illallah. (Riwayat Muslim).
Walaupun demikian, para ulama fikah berpendapat: ``Sungguhpun kita disuruh mengajarkan kalimah tauhid kepada orang yang sedang sakit tenat, tetapi janganlah terlalu kerap atau berturut-turut. Ini kerana kekerapan itu akan menyebabkan kebosanan.
``Selepas mengajarkannya sekali, jangan diulang lagi melainkan setelah dia mengucapkan perkataan lain.''
ZIARAH KEMATIAN
- Apabila berlaku kematian hendaklah diucapkan takziah kepada ahli keluarganya supaya bersabar dan mendoakan si mayat.
Menurut Usamah bahawa seorang anak perempuan Rasulullah s.a.w. memanggil Baginda serta memberitahu bahawa anaknya dalam keadaan hampir meninggal dunia (nazak), Rasulullah s.a.w. berkata kepada utusan itu: Kembalilah kamu kepadanya, dan katakan bahawa segala yang diambil dan yang diberikan, bahkan apapun juga kepunyaan Allah. Dialah yang menentukan ajalnya, maka suruhlah ia bersabar serta tunduk kepada perintah-Nya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
- Amat digalakkan sekiranya dapat membantu keluarga si mati dengan kerja-kerja pengurusan jenazah sehingga selesai di bawa ke tanah perkuburan.
- Sentiasa berusaha membantu meringankan beban waris si mati. Contohnya dengan menyediakan makanan kepada keluarga si mati disebabkan situasi mereka yang berada dalam kesedihan dan kekalutan.
Abdullah bin Jaafar menceritakan bahawa tatkala datang khabar meninggalnya Jaafar yang terbunuh, Rasulullah s.a.w. bersabda: ``Buatkanlah olehmu makanan untuk keluarga Jaafar kerana mereka sedang menderita kesusahan (kekalutan).'' (Riwayat lima orang ahli hadis kecuali Nasai)
Friday, September 26, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment