29/10/08
Sumber: Harian Metro
KUANTAN: Berang kerana isterinya enggan menurut permintaannya supaya meminang seorang wanita lain yang juga isteri orang, seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun, sanggup mengugut mahu menembak dan menyembelih pasangannya itu di Panching, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, warga emas terbabit yang juga seorang pengawal keselamatan, mengarahkan isterinya yang berusia 56 tahun meminang seorang wanita berusia 30-an yang masih bersuami.
Difahamkan, pada mulanya, wanita terbabit akur dengan permintaan suaminya dan pergi ke rumah wanita berkenaan, tetapi tidak memberitahu tujuan sebenar kunjungannya sebelum pulang semula ke rumah sejurus kemudian.
Bagaimanapun, sebaik mengetahui isterinya tidak memberitahu niatnya mahu meminang wanita berkenaan, lelaki itu naik minyak sebelum mengambil sebilah parang lalu mengugut mahu menyembelih si isteri dengan alasan mengingkari arahannya.
Malah, ketika mengacukan senjata itu, lelaki terbabit turut mengugut mahu menembak mangsa jika masih gagal dan enggan memberitahu niatnya mahu meminang isteri orang itu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan (Siasatan/Perundangan) negeri, Superintendan Mohd Haris Daud, ketika ditemui semalam, mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian berkenaan daripada mangsa.
Menurutnya, berikutan tindakan suaminya itu, mangsa yang ketakutan terus melarikan diri ke rumah anaknya tidak jauh dari rumahnya sebelum membuat laporan di Balai Polis Panching.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, lelaki warga emas itu menyimpan perasaan cinta terhadap wanita yang masih mempunyai suami itu.
Beliau berkata, mangsa terpaksa menuruti arahan suaminya selepas didesak berulang kali, tetapi tetap enggan berbuat demikian ketika berkunjung ke rumah wanita itu.
“Polis akan memanggil suami mangsa untuk diambil keterangan berhubung kejadian itu bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.
Komen:
Aku tak tahu apa nak jadi dengan dunia sekarang. Orang tua pun masih berahi nak kahwin. Dengan bini orang lak tue.... Kalo isteri dah meninggal lain crita, siap suruh bini melamar lak.... tak pelik ke... waktu umur cam nie dah patut jaga ibadah... jaga family... jaga cucu.... x tahu la apa yang 'pokcik' nie nak. Hahahaa
Wednesday, October 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment