Ucapan yang berbentuk doa ini biasa ditulis di atas bungkusan hadiah yang disediakan atau lumrah diucapkan sebagai tahniah kepada pasangan pengantin baru. Doa yang dipohonkan oleh ramai orang, biasanya akan dimakbulkan Tuhan. Oleh kerana itu tanpa disedari, harapan ikhlas daripada kaum kerabat dan sahabat handai dalam doa yang disampaikan tadi menjadi kenyataan.
Ditakdirkan, jodoh kedua-dua pasangan tersebut tidak berpanjangan. Lebih memilukan lagi perceraian justeru berlaku sewaktu anak-anak sudah berumah tangga dan beranak pinak.
Akhirnya, pasangan tersebut bercerai selepas bergelar datuk dan nenek, sesuai dengan doa para hadirin yang mengiringi perkahwinan mereka.
Kenapa tidak kita doakan mereka `berkekalan dan bahagia hingga ke akhir hayat'? Keadaan ini hanyalah salah satu contoh permohonan doa kepada Allah s. w. t. yang kurang lengkap dan sempurna.
Sememangnya Allah Maha Pemurah dan sentiasa mendengar dan mengabulkan permohonan hamba-hamba-Nya, sebagaimana Firman-Nya: ``Mintalah kepada-Ku, pasti Aku kabulkan permintaanmu.'' (al-Mukmin:
60)
Namun, ibarat mengirim surat permohonan kerja, jawatan yang diminta biarlah jelas dan terang. Jangan sampai lain yang diharap lain pula yang dapat.
Beberapa lagi contoh yang berkaitan dengan doa yang kurang lengkap ini ialah mohon dipanjangkan umur.
Sedangkan usia panjang itu sebaiknya disertakan dengan tubuh badan yang sihat untuk beramal ibadat, bukan umur lanjut yang akhirnya membebankan keluarga di sekelilingnya.
Begitu juga permohonan dimurahkan rezeki dan ditambahkan harta kekayaan.
Sepatutnya kita meminta ditambahkan rezeki yang halal dan diberkati, yang dengannya kita dapat beramal jariah dan memanfaatkannya ke jalan Allah s. w. t.
Jangan sampai rezeki yang melimpah ruah, menjadikan kita lupa diri sebagai hamba-Nya dan lebih fatal lagi lupakan Allah.
Kisah yang berlaku pada Tsa'labah bin Hatib berikut ini barangkali boleh dijadikan peringatan, walaupun peristiwa tersebut bukan merujuk pada masalah yang disebutkan di atas.
Tsa'labah meminta Rasulullah s. a. w. berdoa kepada Allah agar dia diberi rezeki harta. Baginda menasihatkannya supaya mensyukuri apa yang ada kerana bimbang dia tidak kuat menerimanya.
Tetapi Tsa'labah tetap mendesak dan berjanji akan memberikan bahagiannya kepada yang berhak sekiranya dia kaya.
Rasulullah s. a. w. pun berdoa: ``Ya Allah berikanlah Tsa'labah rezeki harta, berilah dia kambing.''
Dengan kehendak Allah s. w. t. kambing-kambing Tsa'labah membiak banyak seperti ulat, sehingga kota Madinah seolah-olah menjadi sempit kerananya.
Kerana terlalu sibuk dengan `hartanya' ini, Tsa'labah hanya sempat menunaikan solat jemaah Zuhur dan Asar. Akhirnya dia hanya sempat sembahyang Jumaat, yang kemudiannya ditinggalkannya juga.
Mendengar keadaan Tsa'labah, Rasulullah s. a. w. bersabda: ``Rugilah Tsa'labah.'' Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali.
Kemudian Allah menurunkan perintah supaya orang yang berharta mengeluarkan sedekah untuk membersihkan dan menyucikan mereka.
Apabila baginda menghantar utusan disertakan surat kuasa kepada Tsa'labah untuk mengutip zakat yang diperintahkan Allah s. w. t., Tsa'labah bahkan dengan sinis berkata berkali-kali: ``Ini tidak lain mestilah ceti''.
Selepas utusan-utusan tadi memungut zakat daripada orang lain, mereka kembali semula kepada Tsa'labah. ``Tunjukkan surat itu kepadaku,'' katanya. Setelah membacanya dia berkata: ``Ini sama sahaja dengan ceti. Kembalilah kalian, biar aku fikirkan dulu.''
Sabda Rasulullah s. a. w. : ``Celakah kamu wahai Tsa'labah!''.
Akhirnya Allah menurunkan ayat 75-77 yang menceritakan tentang kemunafikan orang yang memungkiri janjinya.
Berita turunnya ayat tersebut kemudiannya sampai kepada Tsa'labah. Dia datang menemui Nabi s. a. w. untuk menyampaikan zakatnya, tetapi jawab Baginda s. a. w.: ``Allah telah melarangku menerima zakat kamu.''
Selepas Baginda s. a. w. wafat, zakat Tsa'labah tetap tidak diterima oleh Khali-fah Abu Bakar dan Umar al-Khattab.
Sekiranya kisah Tsa'labah ini boleh kita kaitkan dengan doa yang kurang lengkap kepada Allah, bayangkan rezeki melimpah yang diminta bukan mendatangkan kebahagiaan sebaliknya mengundang kecelakaan.
Rasulullah s. a. w. selalu berdoa : ``Ya Allah, sesungguhnya aku mohon kepada-Mu kehidupan yang bersih, kematian yang lurus dan kembali tanpa kehinaan dan kecelaan.''
Thursday, December 4, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment