Monday, December 8, 2008

Pindah: Kos projek CAR mungkin lebih RM400j

Sumber: Utusan Malaysia
7-12-2008

RAWANG 7 Dis. - Tindakan Kerajaan Selangor mengubah kawasan laluan Projek Pengukuhan Kawasan Tengah (CAR) dari Kampung Sungai Terentang di sini ke kawasan lain boleh menimbulkan pelbagai masalah termasuk peningkatan kos projek yang dijangka melebihi RM400 juta.

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, perubahan kepada jajaran baru itu juga bakal melibatkan jumlah penduduk yang lebih ramai berbanding di Kampung Sungai Terentang yang hanya membabitkan 23 keluarga.

Beliau berkata, jajaran baru itu membabitkan 83 tuan tanah dan antara kawasan yang terlibat ialah Kampung Sungai Samak, Taman Tun Perak, Kampung Dusun Melayu, Batu 15 1/2 serta Batu 17.

"Saya lihat kerajaan negeri tidak berlaku adil kepada penduduk kerana projek di Kampung Sungai Terentang telah pun dijalankan dan hanya tinggal lebih kurang 0.9 kilometer (km) manakala projek di kawasan baru membabitkan laluan sepanjang 70.3 km.

"Malah projek CAR di Sungai Terentang memakan belanja RM400 juta dan kos itu sudah tentu meningkat apabila laluan ditukar,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama penduduk Kampung Sungai Samak berhubung isu bantahan perubahan jajaran CAR di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Taman Templer, Datuk Subahan Kamal.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, Selangor, Kuala Lumpur dan sebahagian besar kawasan selatan Pantai Barat Semenanjung berdepan dengan risiko terputus bekalan elektrik dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang jika projek CAR di Rawang gagal disiapkan.

Menurut Khir, tidak ada sebab untuk TNB memindahkan jajaran projek itu ke lokasi baru memandangkan kawasan laluan lama telah pun diwartakan dan tanah tersebut sah menjadi milik syarikat berkenaan.

"Projek ini perlu disegerakan kerana saya bimbang kita akan mengalami masalah kekurangan bekalan elektrik di Lembah Klang dan Putrajaya. Ini juga akan menyebabkan kilang-kilang ditutup dan para pekerja menghadapi kemungkinan diberhentikan kerja," tegasnya.

Mengulas mengenai langkah penguatkuasaan, beliau memberitahu, TNB tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan penduduk keluar dari tanah tersebut memandangkan bidang kuasa itu terletak di bawah kerajaan negeri Selangor.

Katanya, kerajaan negeri berkuasa sepenuhnya untuk menguatkuasakan undang-undang bagi memberi notis kepada penduduk supaya keluar dari tanah tersebut agar projek CAR dapat dilaksanakan.

No comments: