BAYI anda asyik menangis biarpun sudah diberi makan dan minum secukupnya. Sebagai ibu bapa anda akan sedaya upaya bersabar menghadapi situasi itu. Lazimnya, anda akan memujuk bayi itu dengan mendodoi atau menggoncang tubuhnya dengan harapan anak itu berhenti menangis. Namun awas, jangan terlalu kasar atau asyik menggoncang kerana ada kemungkinan anda boleh menjadi pembunuh tanpa disedari. Ini kerana, berdasarkan kajian di negara Barat, menggoncang, melambung atau menyentak bayi, terutama mereka yang berusia dua tahun ke bawah boleh menyebabkan salur darah di dalam otak terkoyak atau pecah.
Justeru, ingatlah, perbuatan anda untuk menenangkan bayi yang sedang menangis itu boleh enyebabkan kematian pada mereka dan kadangkala boleh menyebabkan bayi itu merana sepanjang hayat?
Sindrom menggoncang bayi atau 'shaken infant syndrome' adalah antara kecederaan serius di kalangan bayi dan kanak-kanak dan ia tidak seharusnya dipandang ringan oleh setiap ibu bapa, penjaga mahupun pengasuh.
Sebahagian besar kes sindrom menggoncang bayi dilakukan oleh dewasa yang dihantui perasaan marah dan kecewa pada anak kecil dan menggoncang mereka tanpa belas kasihan dan simpati. Sama ada sengaja dilakukan atau tanpa menyedari bahawa perbuatan menggoncang anak membahayakan kesihatan, seseorang dewasa perlu berfikir dan menunjukkan keprihatinan mereka apabila melihat anak kecil menangis tanpa henti.
Bayi berusia dua tahun ke bawah mempunyai otot tengkuk yang lembut dan lazimnya ia akan hanya terbentuk dengan sempurna secara berperingkat-peringkat bagi menyokong serta mengawal kepala.
Sehubungan itu, jika tubuh mereka digoncang, kepala mereka akan bergoyang-goyang ke depan dan belakang, yang mana boleh menyebabkan kerosakan otak dan pendarahan sama ada di dalam atau di atas otak.
Kerosakan teruk bahagian otak akibat menggoncang bayi itu adalah lebih kerap berlaku di kalangan bayi berusia dua tahun ke bawah selain kanak-kanak berumur tiga dan empat tahun. Apakah perbuatan yang boleh membahayakan otak bayi?
1. Berulang kali menjulang anak kecil anda.
2. Berjoging sambil membawa bayi atau kanak-kanak sama ada dengan mendukungnya di belakang atau di bahu.
3. Membawa mereka menunggang kuda.
4. Memusingkan anak kecil anda.
Apakah masalah yang boleh dialami akibat perbuatan itu?
1. Kerosakan otak.
2. Kecederaan tulang spinal.
3. Buta.
4. Kecederaan mata.
5. Sawan.
6. Patah tulang.
7. Terseliuh.
8. Kecacatan fizikal.
Sehubungan itu, anda dinasihatkan supaya:
1. Jangan menggoncang kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah.
2. Pastikan anda menyediakan alat penyokong pada kepala bayi anda sama ada ketika mendukung, bermain dan mengajaknya keluar.
3. Pastikan anda mengawasi individu lain yang akan turut mendukungnya, seperti penjaga, pengasuh atau anak-anak lain yang mengangkatnya.
4. Pastikan anda tahu apa yang perlu dilakukan apabila mendapati bayi terus menangis.
Apa yang perlu dilakukan jika anda menggoncang bayi secara tidak sengaja atau sengaja?
Walaupun anda terasa malu dan bersalah untuk berterus terang dengan doktor, adalah penting jika anda memberitahu doktor apa yang sudah dilakukan. Berterus terang adalah lebih baik daripada menyembunyikan perkara sebenar.
Jika anda menggoncang bayi secara sengaja atau tidak sengaja, pastikan anda bergegas ke jabatan kecemasan secepat mungkin. Ini kerana, pendarahan di dalam otak boleh dirawat, itupun jika anda memberitahu doktor perkara sebenar.
Jika anda berterus terang mengatakan bahawa bayi itu digoncang, doktor akan memberi rawatan sewajarnya dan keadaan ini sekali gus dapat menyelamatkan nyawa bayi anda dan masalah yang bakal dihadapi pada masa akan datang.
Apakah yang perlu dilakukan jika anak anda menangis?
1. Letakkan anak anda di tempat selamat untuk beberapa minit.
2. Hubungi jiran atau rakan.
3. Tarik nafas sebanyak 10 kali, kemudian tarik nafas sekali lagi sebanyak 10 kali.
4. Buat sesuatu yang baik untuk diri anda, seperti memasang lagu, minum secawan kopi atau teh, bersenam ringan, mandi, membaca buku atau majalah.
5. Ubah kegiatan harian anda seperti, mencuci lantai, membersihkan permaidani, bersihkan sampah sarap yang mungkin ada di dalam rumah.
6. Duduk, tutup mata, fikirkan tempat yang menarik. Jangan ke mana-mana untuk beberapa minit.
7. Tulis 10 perkara menarik mengenai anda.
8. Catatkan 10 perkara menarik mengenai anak anda.
Tuesday, December 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment